Belia perkukuh kemahiran penanaman padi

OKTOBER 6, 2026

Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS) menamatkan musim penanaman kedua bagi Program Latihan Belia di bawah projek Global Green Growth Institute (GGGI) dan BIMP-EAGA–Republic of Korea Cooperation Fund (BKCF) dengan penuaian musim kedua yang melibatkan latihan praktikal kerja lapangan di tapak penanaman padi MPK Junjongan.

Sepanjang dua musim penanaman, seramai 50 belia Brunei telah memperoleh pengalaman praktikal dalam penyediaan tanah, penanaman, penjagaan tanaman, pengurusan nutrien dan air, kawalan rumpai, pemantauan tanaman serta penuaian.

Musim kedua itu turut memberi peluang kepada para peserta untuk terus mengaplikasikan dan memperkukuh pengetahuan serta kemahiran yang diperoleh semasa musim pertama.

Projek bertajuk Promoting Youth Engagement and Employment in Bio-Circular-Green (BCG) Agriculture and Food Systems for Food Security: An Action Research on the Rice Value Chain in Brunei Darussalam itu diterajui oleh Pengarah Eksekutif CSPS, Dr Diana Cheong selaku Ketua Projek dengan sokongan Timbalan Ketua Projek, Dr Kartini Rahman serta Penyelaras Projek, Dr Sufrizul Husseini dan Anwar Hashim.

Program Latihan Belia itu dirangka untuk memberi pendedahan secara langsung kepada para belia dalam penanaman padi, di samping meningkatkan pemahaman mereka mengenai peluang yang terdapat dalam rantaian nilai padi di Negara Brunei Darussalam.

Program berkenaan bermula dengan latihan dalam bilik darjah pada Ogos 2025, diikuti dengan latihan kerja lapangan yang bermula pada November 2025.

Latihan berkenaan dilaksanakan di bawah bimbingan Pakar Teknikal Padi, Efren S. Madayag bersama para petani yang terlibat serta rakan-rakan projek.

Para peserta turut merakamkan penghargaan terhadap program itu dan menyifatkannya sebagai peluang berharga untuk merasai sendiri pengalaman bertani serta lebih memahami kerja-kerja yang dilakukan oleh para petani di Brunei.

Mereka menyatakan bahawa program berkenaan banyak membantu dalam menggalakkan golongan muda untuk terus terlibat dalam bidang pertanian, khususnya industri padi.

Para peserta juga menghargai peluang untuk mempelajari perkara baharu dan menjalin persahabatan baharu serta berharap lebih ramai belia akan menyertai inisiatif berkenaan.

Pengalaman serta dapatan daripada kedua-dua musim penanaman berkenaan akan menyumbang kepada penilaian projek mengenai pendekatan untuk memperkukuh penyertaan dan peluang pekerjaan belia dalam sektor padi di Negara Brunei Darussalam.

Pengetahuan, kemahiran praktikal dan jaringan yang diperoleh melalui program itu juga dihasratkan untuk memberi asas yang lebih kukuh kepada para peserta dalam meneroka peluang masa hadapan dalam bidang pertanian, agribisnes dan aktiviti lain berkaitan rantaian nilai padi.

Sumber: Media Permata