Perkukuh kemahiran penggunaan AI dalam pentadbiran, penyelidikan

OGOS 31, 2026

Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS) baru-baru ini telah menganjurkan CSPS AI Dojo – Kemahiran AI Praktikal untuk Profesional Dasar dari 24, 26 hingga 28 Ogos lalu di CSPS.

Bengkel selama empat hari itu menghimpunkan para peserta dari CSPS dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) bagi memperkukuh kemahiran praktikal dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab dalam tugasan pentadbiran dan penyelidikan.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh Profesor Madya di Juntendo University, Tokyo, Dr Akira Murata, dan menampilkan dua landasan khusus bagi pentadbir dan penyelidik. Menerusi latihan amali, demonstrasi secara langsung dan sesi perbincangan, para peserta meneroka pelbagai aplikasi AI praktikal, daripada penyediaan draf dan pengurusan data kepada pencarian literatur, analisis, pengesahan maklumat dan sokongan penulisan akademik.

Bengkel itu turut menekankan amalan penggunaan AI yang bertanggungjawab, termasuk melindungi maklumat sensitif serta membangunkan amalan pengesahan yang kukuh bagi memastikan kandungan yang dijana AI disemak sebelum digunakan dalam hasil kerja profesional dan penyelidikan.

Para peserta menyifatkan bengkel ini sebagai ‘sangat berguna dan praktikal,’ serta menghargai semangat dan pengetahuan fasilitator.

Mereka turut memuji keseimbangan antara pembentangan, demonstrasi, latihan amali dan perbincangan, di samping bahan latihan yang jelas, berguna dan dikongsi dengan segera. Contoh-contoh praktikal yang mudah difahami juga dilihat membantu meningkatkan pengalaman pembelajaran peserta.

Bengkel tersebut mencerminkan usaha berterusan CSPS dalam memperkukuh keupayaan digital serta menggalakkan penggunaan teknologi baharu secara bertanggungjawab dalam bidang dasar, penyelidikan dan pentadbiran.

Sumber: https://mediapermata.com.bn/perkukuh-kemahiran-penggunaan-ai-dalam-pentadbiran-penyelidikan/