CSPS laksana kaji selidik celik kewangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS) akan melaksanakan Kaji Selidik Celik Kewangan 2025 bermula hari ini hingga 12 Februari 2026, menandakan usaha utama negara untuk menghasilkan bukti yang kukuh dan relevan dengan dasar mengenai keupayaan kewangan orang dewasa di Negara Brunei Darussalam.

Kajian ini diketuai oleh Associate Researcher dan Ketua Bahagian Analisis Data dan Pengurusan Projek di CSPS, Dayang Izzati binti Shahari.

Kaji selidik ini merupakan penilaian komprehensif tentang kecelikan kewangan melalui penilaian pengetahuan, sikap dan tingkah laku berhubung hal-hal kewangan, serta penilaian kecelikan kewangan digital, rangkuman kewangan, daya ketahanan dan kesejahteraan kewangan. Selain mewujudkan garis dasar kebangsaan semasa, kaji selidik ini akan menjejaki trend dari semasa ke semasa dan menganalisis bagaimana faktor sosiodemografi dapat membentuk hasil kewangan seseorang.

Hasil kaji selidik akan membolehkan perbandingan di peringkat antarabangsa serta akan menyumbang kepada pembentukan dan penambahbaikan dasar-dasar yang berkenaan terhadap pencapaian Wawasan Brunei 2035.

Kaji Selidik Celik Kewangan ini merupakan inisiatif yang berterusan di antara Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dan CSPS. Kaji selidik tahun 2025 ini merupakan kali keempat yang telah dijalankan oleh CSPS bagi pihak BDCB, dengan edisi sebelum ini dijalankan pada tahun 2015, 2018 dan 2022. Usaha berterusan ini membolehkan analisis secara jangka panjang dan menguatkan peranan kaji selidik ini sebagai instrumen pemantauan kebangsaan utama.

Temu bual secara bersemuka akan dijalankan di seluruh negara melibatkan sebanyak 1,800 buah rumah yang dipilih secara rambang, menyasarkan responden berumur antara 18 hingga 79 tahun. Setiap sesi temu bual dijangka akan mengambil masa lebih kurang 60 minit, bagi membolehkan pengumpulan data yang mendalam.

Bagi memastikan pengumpulan data yang konsisten dan berkualiti, CSPS telah melantik seramai 60 penemu duga terlatih yang akan melaksanakan kaji selidik ini di keempat-empat daerah. Para penemu duga telah menjalani latihan yang komprehensif sebelum kajian bermula bagi memastikan pematuhan terhadap protokol pengumpulan data dan kualiti terjamin.

CSPS memberi jaminan bahawa semua maklumat yang dikumpulkan adalah sulit dan hanya digunakan untuk tujuan statistik serta penggubalan dasar. Maklumat pengenalan peribadi responden, seperti nama atau nombor kad pengenalan, tidak perlu diberikan.

Isi rumah yang terpilih untuk kajian ini digalakkan untuk mengesahkan identiti penemu duga berdasarkan senarai yang disiarkan di laman sesawang CSPS. Penemu duga rasmi yang dilantik CSPS akan membawa pas pengenalan kaji selidik dan memakai ves CSPS.

Sumber: https://mediapermata.com.bn/csps-laksana-kaji-selidik-celik-kewangan/