JUN 11, 2025
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS) telah menandatangani perjanjian dengan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) bagi pembangunan Strategi Kebangsaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Negara Brunei Darussalam yang pertama.
Menandatangani bagi pihak MTIC ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim dan CSPS diwakili oleh Pengarah Eksekutif dan Ketua Penyelidik CSPS, Dr Diana Cheong.
Inisiatif itu menandakan satu langkah penting ke arah penyediaan pelan hala tuju yang komprehensif bagi lima tahun ke hadapan untuk mengukuhkan ekosistem inovasi negara. Strategi itu juga menyokong matlamat Wawasan Brunei 2035 dalam pembangunan sosio-ekonomi negara.
Pembangunan strategi tersebut melibatkan penyelidikan daripada pihak CSPS, serta pihak-pihak berkepentingan dari sektor kerajaan, akademik dan industri melalui siri bengkel, forum dan sesi libat urus.
Strategi itu akan memperincikan teras-teras strategik, pelan tindakan dan petunjuk prestasi utama bagi memastikan pelaksanaan inisiatif STI yang berkesan dalam pelbagai sektor utama.
Kerjasama MTIC dan CSPS turut menjadi satu mercu tanda penting dalam mempertingkatkan keupayaan inovasi negara dan menggerakkan transformasi Brunei Darussalam ke arah menjadi sebuah negara yang maju berasaskan ilmu pengetahuan dan inovasi.
Sumber: https://mediapermata.com.bn/csps-mtic-meterai-perjanjian-sti/