JUN 28, 2024
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Seramai 110 belia telah menghadiri pelancaran projek perintis Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS) bertajuk Menggalakkan Penglibatan Belia dan Pekerjaan dalam Pertanian dan Sistem Makanan Bio-Circular-Green (BCG) untuk Keselamatan Makanan: Satu Penyelidikan Tindakan mengenai Rantaian Nilai Beras di Negara Brunei Darussalam pada majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah, Bangunan CSPS, pagi tadi.
Menurut CSPS, projek berkenaan telah ditaja oleh BIMP EAGA Republic of Korea Cooperation Fund (BKCF), menandakan julung kali Brunei dianugerahkan tajaan tersebut.
Inisiatif itu juga merupakan projek pertama Brunei yang menerima pembiayaan daripada BKCF, bertujuan memupuk pertumbuhan inklusif dan seimbang dalam rantau Asia Tenggara serta meningkatkan kesalinghubungan ASEAN.
Projek berkenaan telah dipimpin oleh Pengarah Eksekutif CSPS, Dr Diana Cheong; Penyelidik CSPS, Dr Kartini Rahman; dan Pakar Rantaian Nilai Agriperniagaan dan Dasar Pertanian CSPS, Dr Roberto Acosta.
Melalui pelaksanaan projek ini, ia berhasrat mengenal pasti kecekapan dan penambahbaikan kualiti dalam rantaian nilai beras Brunei, menganalisis impak dasar, membangunkan strategi kolaboratif dan melaksanakan projek perintis rantaian nilai beras BCG dengan golongan belia dan PMKS sebagai peserta utama. Selain itu, projek berkenaan juga dihasratkan untuk meningkatkan keselamatan makanan dan sara diri beras di Negara Brunei Darussalam.
Dalam ucapan pembukaan, Dr Diana menjelaskan bahawa tatkala Brunei semakin berkembang maju dan peluang pekerjaan sektor awam menjadi lebih terhad, populasi belia yang juga semakin meningkat di negara ini memerlukan bentuk pekerjaan alternatif, dengan pertanian menawarkan peluang yang berdaya maju.
“Walau bagaimanapun, secara global, bidang pertanian tidak menarik minat golongan muda yang menganggapnya terlalu manual dan mencabar dari segi fizikal. Kajian ini bertujuan menangani isu-isu tersebut, dengan mencadangkan cara untuk menggalakkan penglibatan belia dalam pertanian padi, terutamanya melalui penggunaan teknologi pertanian pintar untuk mengurangkan beberapa cabaran pertanian konvensional,” ujarnya.
Dr Diana menambah kajian itu juga akan meneroka aktiviti pertanian padi yang bernilai tinggi seperti pertanian yang pelbagai (diversified farming), perusahaan pertanian mikro dan kecil yang memberikan manfaat kepada golongan sukarelawan belia, seperti pendedahan dan latihan asas dalam penggunaan dron. Ini turut memberi peluang kepada mereka untuk menjadi juruterbang dron berlesen untuk menjalankan kegiatan pertanian suatu hari nanti.
Di samping itu, mereka juga akan didedahkan kepada piawaian global pertanian dan usaha niaga perniagaan serta teknologi pertanian digital, seperti penggunaan analisis data, aplikasi IOT dan AI dalam pertanian dan pengeluaran makanan.
Source: https://mediapermata.com.bn/tingkat-keselamatan-sara-diri-beras-brunei/