October 13, 2021
Unit Tabung Darah, Perkhidmatan Makmal Hospital Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) hari ini menerima sebanyak 26 pain darah yang berjaya dikumpulkan pada Kempen Menderma Darah di Bangunan Sukma Indera Hall, Pusat Pengajian Strategik dan Dasar (CSPS), di sini.
Kempen yang bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu dikendalikan oleh Pusat Pendermaan Darah, Hospital RIPAS dengan kerjasama CSPS dengan tujuan untuk membantu Unit Simpanan Darah Negara Brunei Darussalam dalam memberi khidmat bantuan kepada masyarakat dan pesakit yang memerlukan darah.
Kempen dibukakan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan CSPS, Institut Pendidikan Teknikal Brunei dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) juga orang ramai.
Dengan adanya kempen yang julung kalinya diadakan oleh CSPS ini diharap akan dapat meningkatkan lagi kesedaran tentang kebaikan menderma darah serta perlunya sentiasa menjaga kesihatan tubuh badan juga mengamalkan gaya hidup sihat dan menanamkan sifat keprihatinan terhadap golongan memerlukan.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menderma darah atau mengetahui tarikh dan tempat bagi pendermaan darah bolehlah melayari Instagram '@bloodbank_ripas' untuk pertanyaan lebih lanjut.
Adalah diingatkan, para penderma darah perlulah mempunyai berat badan sekurang-kurangnya 45 kilogram dan berumur 17 tahun ke atas. Tidak mempunyai simptom-simptom jangkitan kuman dalam masa satu minggu kebelakangan seperti sakit tekak, batuk, hidung berair, cirit-birit dan sakit.
Para penderma juga tidak mengalami demam panas dalam masa tiga minggu kebelakangan dan tidak menjalani sebarang kerja-kerja pergigian dalam masa 24 jam.