CSPS, MOH laksana kajian berkaitan penuaan sehingga 30 April

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JAN – Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS), dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (MOH), akan melaksanakan Kajian Nasional Successful Ageing 2025 bermula hari ini, 16 Januari hingga 30 April, sebagai sebahagian daripada pembangunan Pelan Hala Tuju Nasional Lima Tahun bagi inisiatif Successful Ageing di Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan CSPS, kajian peringkat nasional itu merupakan satu usaha besar di peringkat negara bagi menjana bukti yang kukuh dan relevan untuk menyokong penggubalan dasar berkaitan successful ageing serta hasil kesihatan yang berkaitan dengan penuaan di Negara Brunei Darussalam.

Kajian tersebut bertujuan untuk menilai tahap successful ageing dalam kalangan penduduk, di samping mengkaji isu-isu utama berkaitan kesihatan, sosial dan penuaan yang mempengaruhi golongan warga emas.

Penemuan kajian ini akan menyediakan asas bukti untuk menyokong Kementerian Kesihatan dalam memantau pencapaian successful ageing serta merangka dasar dan strategi yang berkesan bagi menggalakkan penuaan yang sihat dan aktif di seluruh negara.

Kajian tersebut akan dijalankan melalui temu duga bersemuka di keempat-empat daerah melibatkan sampel rawak seramai 1,100 responden, yang terdiri daripada 1,000 individu berumur 60 tahun dan ke atas serta 100 individu pertengahan umur berumur 40 hingga 59 tahun.

Di setiap isi rumah yang terpilih, seorang responden yang layak akan dijemput untuk menyertai kajian ini. Setiap sesi temu duga dijangka mengambil masa kira-kira 45 minit.

Bagi memastikan kualiti dan ketekalan data yang tinggi, CSPS telah melantik 50 penemuduga terlatih yang akan dikerahkan ke seluruh negara. Semua penemuduga telah menjalani latihan menyeluruh sebelum kerja lapangan dimulakan dan akan melaksanakan temu duga mengikut protokol pengumpulan data serta piawaian jaminan kualiti yang telah ditetapkan. Para penemuduga juga akan membawa pengenalan rasmi dan surat kebenaran yang dikeluarkan oleh CSPS.

Isi rumah yang terpilih untuk menyertai kajian ini digalakkan untuk mengesahkan identiti penemuduga. Semua penemuduga yang dilantik oleh CSPS akan membawa pas pengenalan kajian dan memakai vest CSPS.

CSPS menegaskan semua maklumat yang dikumpul akan dirahsiakan dengan ketat dan digunakan secara eksklusif bagi tujuan perangkaan dan penyelidikan sahaja. Kajian ini tidak akan mengumpul sebarang maklumat pengenalan peribadi seperti nama atau nombor kad pengenalan.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai Kajian Nasional Successful Ageing ini bolehlah dikemukakan kepada CSPS di talian +673 8679841 pada waktu pejabat. Sebarang kebimbangan atau aduan berkaitan kajian ini boleh disalurkan kepada Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan dan Kesihatan (MHREC) melalui e-mel mhrec@moh.gov.bn.

Sumber:https://mediapermata.com.bn/csps-moh-laksana-kajian-berkaitan-penuaan-sehingga-30-april/