Program Latihan Belia CSPS fokus masa depan industri makanan

AUGUST 26, 2025

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Sebagai sebahagian daripada Program Latihan Belia mengenai Pertanian dan Sistem Makanan Bio-Kitaran-Hijau (BCG) bagi Jaminan Makanan yang sedang berlangsung pada masa ini, Pusat Pengajian Strategik dan Dasar (CSPS) telah mengadakan lawatan ke ladang penanaman padi Majlis Perundingan Kampung (MPK) Limau Manis, hari ini.

Duta Besar Republik Korea (ROK) ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sun Nahmkook turut serta dalam lawatan berkenaan, bersama Pengarah Eksekutif CSPS, Dr Diana Cheong merangkap ketua projek inisiatif tersebut serta para peserta program.

>Dr Diana Cheong ketika mengulas mengenai lawatan berkenaan menyatakan beliau telah memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai aplikasi praktikal teknologi dalam bidang pertanian.

“Kami berharap ia akan memberi inspirasi kepada golongan belia untuk memainkan peranan aktif dalam menentukan masa depan industri makanan negara serta memperkasa generasi usahawan tani masa depan Brunei,” ujar beliau.

Manakala, pembentangan dan demonstrasi dron yang telah dikongsikan oleh InnovAero Sdn Bhd turut mempamerkan integrasi teknologi moden ke dalam operasi penanaman padi masa kini, yang turut dialami secara langsung oleh para peserta belia.

Penggunaan dron semakin meluas dalam bidang pertanian sebagai usaha untuk meningkatkan hasil, mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja serta menggalakkan amalan yang lebih mesra alam.

Baru-baru ini, golongan belia tempatan bersama pihak industri telah berhimpun dalam Program Latihan Belia CSPS di mana ia bermatlamat untuk menyokong keutamaan negara, meningkatkan penglibatan belia dalam bidang pertanian serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Inisiatif tersebut telah menggunakan pendekatan penyelidikan tindakan dengan menumpukan kepada rantaian nilai padi di Brunei Darussalam.

Projek penyelidikan tindakan CSPS berkenaan merupakan kali pertama Brunei menerima anugerah daripada Dana Kerjasama BIMP-EAGA–ROK (BKCF).

Sumber: https://mediapermata.com.bn/program-latihan-belia-csps-fokus-masa-depan-industri-makanan/