AUGUST 19, 2025
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Sebagai sebahagian daripada Program Latihan Belia mengenai Pertanian dan Sistem Makanan Bio-Kitaran-Hijau (BCG) bagi Jaminan Makanan yang sedang berlangsung pada masa ini, Pusat Pengajian Strategik dan Dasar (CSPS) telah mengadakan lawatan ke ladang penanaman padi Majlis Perundingan Kampung (MPK) Limau Manis, hari ini.
Duta Besar Republik Korea (ROK) ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sun Nahmkook turut serta dalam lawatan berkenaan, bersama Pengarah Eksekutif CSPS, Dr Diana Cheong merangkap ketua projek inisiatif tersebut serta para peserta program.
Dr Diana Cheong ketika mengulas mengenai lawatan berkenaan menyatakan beliau telah memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai aplikasi praktikal teknologi dalam bidang pertanian.
“Kami berharap ia akan memberi inspirasi kepada golongan belia untuk memainkan peranan aktif dalam menentukan masa depan industri makanan negara serta memperkasa generasi usahawan tani masa depan Brunei,” ujar beliau.
Manakala, pembentangan dan demonstrasi dron yang telah dikongsikan oleh InnovAero Sdn Bhd turut mempamerkan integrasi teknologi moden ke dalam operasi penanaman padi masa kini, yang turut dialami secara langsung oleh para peserta belia.
Program itu juga merupakan sebagai sebahagian daripada projek CSPS ‘Menggalakkan Penglibatan dan Pekerjaan Belia dalam Pertanian dan Sistem Makanan Bio-Kitaran-Hijau (BCG) untuk Keselamatan Makanan: Penyelidikan Tindakan mengenai Rantaian Nilai Padi di Brunei Darussalam’, iaitu inisiatif pertama yang diterajui oleh negara Brunei Darussalam dan dibiayai oleh Institut Pertumbuhan Hijau Global (GGGI) dan Dana Kerjasama BIMP-EAGA – Republik Korea (BKCF).
Program juga merancang mengadakan lawatan tapak ke sawah padi di Junjongan, dengan latihan direka khas untuk 100 peserta yang tiada pengalaman sebelumnya dan akan dilaksanakan dalam dua fasa.
Minggu pertama akan memberi tumpuan kepada amalan asas penanaman padi, disampaikan oleh Dr Roberto R Acosta dan Efren Madayag, pakar industri padi dari Filipina.
Minggu kedua pula memberi panduan tentang cara memulakan penanaman padi di Brunei, termasuk maklumat mengenai skim sokongan, yang disampaikan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan. Ia juga merangkumi sesi keusahawanan agro dan inovasi oleh Makmal Inovasi Brunei (BIL), serta teknologi pertanian pintar yang dikendalikan oleh Penolong Profesor di Universiti Teknologi Brunei (UTB), Ir Ts Dr Ahmad Azlan Bin Abdul Aziz.
Program itu turut menampilkan demonstrasi dron dan sesi perkongsian ilmu turut akan dikendalikan oleh InnovAero Sdn Bhd.</p
Program tersebut akan diakhiri dengan ujian penilaian pada 29 Ogos, di mana 50 peserta terbaik akan meneruskan latihan tapak selama dua musim penanaman padi, dan akan menerima elaun selepas tamat latihan. Para peserta juga akan memperoleh pengalaman daripada proses penanaman hingga penuaian, di samping peluang untuk menerokai usaha niaga agro.
Program Latihan Belia itu merupakan komponen utama penyelidikan tindakan CSPS untuk menggalakkan penglibatan belia dalam rantaian nilai padi Brunei di bawah kerangka BCG. Projek itu menghimpunkan agensi kerajaan, pemain industri, dan institusi pendidikan dengan matlamat untuk memelihara keselamatan makanan serta meningkatkan penglibatan belia dalam pertanian moden.
Sumber: https://mediapermata.com.bn/csps-lancar-program-latihan-belia-dalam-pertanian-pintar/
