Kaji Selidik BB bermula 20 Mei

MAY 18, 2023

Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS) mengumumkan bahawa Kaji Selidik Barometer Brunei (BB) akan dijalankan pada 20 Mei hingga 31 Julai depan di keempat-empat daerah.

Ia bertujuan untuk memahami tahap perkembangan orang Brunei dan pendapat serta harapan mereka terhadap pelbagai bidang termasuk ekonomi, institusi, dan sosial budaya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, CSPS mengongsikan bahawa sejumlah 1,600 buah rumah telah disasarkan, dan kajian tersebut hanya akan mengambil masa kira-kira 30 minit.

Semua jawapan adalah maklumat sulit, dan kajian itu tidak memerlukan maklumat peribadi seperti nama atau nombor kad pengenalan.

Menurut CSPS, seramai 50 orang penemu duga yang terdiri daripada graduan-graduan tempatan telah dipilih untuk menjalankan kajian itu. Mereka akan mengikuti kursus latihan sebelum menjalankan kajian. Mereka akan ditempatkan di kesemua daerah, dan orang ramai adalah dialu-alukan untuk ikut serta dalam kajian berkenaan.

Sebarang pertanyaan mengenai kaji selidik berkenaan hendaklah dikemukakan kepada pihak CSPS di talian 2445821 atau 8679841 pada waktu pejabat.

Source: https://mediapermata.com.bn/kaji-selidik-bb-bermula-20-mei/