Dua mesin oksigen aliran tinggi antara sumbangan yang diterima

september 25, 2021

Lebih ramai pihak dermawan tampil ke hadapan menghulurkan sumbangan sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility - CSR) dan sumbangan peribadi dalam membantu pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, khususnya Kementerian Kesihatan, dalam sama-sama menangani dan membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, hari ini, Persatuan Jantung Brunei Darussalam menyumbangkan dua mesin oksigen aliran tinggi (Fisher & Paykel - myAIRVO2) dengan aksesori berkaitan, bernilai BND20,700 untuk rawatan terhadap pesakit-pesakit kritikal COVID-19, di Kementerian Kesihatan.

Penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Presiden Persatuan Jantung Brunei Darussalam, Dr. Sofian bin Dato Paduka Haji Johar dan Timbalannya, Dr. Hajah Rohayati binti Haji Md. Taib kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan, baru-baru ini, menerima beberapa sumbangan daripada pihak penderma, terdiri daripada BabyNest; Bruneian Student's Union of the UK and EIRE; Pejabat Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan; Ekamjot Sdn. Bhd.; Lucky Charm Sdn. Bhd.; NCMC; Centre for Strategic and Policy Studies; dan para penyumbang persendirian, iaitu Zahidah, Dk. Eliafatimah dan Afiqah juga Syazana Shamsir.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membuat sebarang sumbangan, bolehlah berhubung terus bersama MOH Emergency Operation Centre (MOHEOC) menerusi talian +673 7295712, pada waktu bekerja sahaja.

 

Source: http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita%202018/NewDisplayForm.aspx?ID=36306