CSPS bakal laksana BBS 2021 mulai 8 Ogos

5 OGOS 2021

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS) akan mengendalikan Kajian Barometer Brunei (BBS) 2021 bermula 8 Ogos ini sehingga 7 September depan.

Kajian berkenaan bertujuan untuk mengukur tahap perkembangan masyarakat Negara Brunei Darussalam dan pendapat serta harapan mereka dengan mengambil kira perubahan landskap sosioekonomi negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, maklumat yang dikumpul daripada kajian berkenaan akan digunakan untuk merumuskan cadangan-cadangan dasar strategik ke arah mencapai matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.

Sejumlah 1,500 buah keluarga di seluruh negara terpilih untuk ikut serta dalam kajian berkenaan. Temu duga akan dilaksanakan secara bersemuka yang mengambil masa kira-kira 30 minit.

CSPS memberi jaminan kepada setiap keluarga atau isi rumah yang terpilih bagi kajian bahawa maklumat yang dikumpulkan akan disimpan dan dikendalikan secara sulit dan digunakan bagi keperluan perangkaan sahaja.

Pusat berkenaan telah melantik seramai 50 orang penemu duga untuk menjalankan kerja-kerja luar bagi kajian berkenaan di kesemua daerah. Mereka akan mengikuti kursus latihan intensif sebelum menjalankan kajian tersebut.

Keluarga terpilih dinasihatkan agar dapat memastikan penemu duga yang datang membuat lawatan adalah pegawai kajian yang dilantik melalui pas kajian, surat lantikan dan kad pengenalan mereka.

Sokongan dan kerjasama semua keluarga terpilih dalam memberikan maklumat yang tepat dan lengkap adalah sangat-sangat diharapkan bagi sama-sama menjayakan kajian ini.

Sebarang pertanyaan mengenai BBS 2021 bolehlah dirujuk kepada CSPS menerusi talian 2445821 (waktu pejabat) dan e-mel kepada survey@csps.org.bn atau menerusi laman sesawang www.csps.org.bn.

 

Sumber: https://mediapermata.com.bn/csps-bakal-laksana-bbs-2021-mulai-8-ogos/