CSPS sambut ulang tahun ke-15

July 8th, 2021

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS) telah meraikan ulang tahunnya yang ke-15 dengan majlis sambutan yang berlangsung di Bangunan CSPS, semalam.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi meraikan majlis sambutan berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku pengerusi Lembaga Pengarah CSPS.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Wawasan, Kewangan dan Ekonomi) di Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad selaku pemangku pengarah eksekutif CSPS.

Objektif utama sambutan tersebut adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat CSPS serta untuk mempromosikan CSPS.

Dengan cogan kata CSPS STRIVE, acara berhasrat untuk menonjolkan bahawa CSPS senantiasa gigih berusaha dalam membina organisasinya secara menyeluruh dengan sumbangan substantif kepada masyarakat dalam pelbagai bidang di samping melaksanakan penyelidikan sebagai fungsi utamanya.

Sempena ulang tahun tersebut, tiga aktiviti telah diadakan pada majlis itu seperti kempen menderma darah, Bengkel Pembangunan Diri dan bazar yang diadakan dalam usaha menggalak dan membantu usahawan kecil.

Bengkel Pembangunan Diri dikendalikan oleh usahawan-usahawan muda yang berjaya iaitu One Media yang berkongsi mengenai ‘Pengenalan kepada Pemasaran Digital dan Asas Fotografi’; Esjay dengan perkongsian bertajuk ‘Kebebasan Kewangan’ dan Awang Asyran Hazwan dengan tajuk ‘Selamat Datang ke NFT’.

Kempen derma darah yang dijalankan dengan kerjasama Jerudong Park Medical Centre tersebut telah berjaya mengutip 28 pain darah.

 

Sumber: https://mediapermata.com.bn/csps-sambut-ulang-tahun-ke-15/